Tag Archives: anak-anak

9 Fakta kemahiran yang ibubapa wajib tahu

Membesarkan anak-anak zaman kini tidak lagi sama seperti zaman ibubapa kita dahulu. Keadaan sekarang lebih mencabar dengan banyaknya perubahan yang berlaku di sekeliling kita. Terutama keadaan persekitaran, cara bersosial dan komunikasi, kemudahan dan sebagainya.Kadang-kadang ibubapa tak dapat membayangkan kerisauan terhadap keselamatan dan perkembangan anak-anak di masa depan.

ibubapa

Ini ditambah lagi dengan kejadian yang berlaku baru-baru ini. Sekumpulan remaja yang masih mentah berani melakukan jenayah yang menyebabkan kematian 22 orang akibat kebakaran. Amat sukar untuk kita mepercayai kejadian ini, namun inilah kenyataan.

Dengan keadaan yang semakin mencabar hari ini, ibubapa harus bersedia dan berikan yang terbaik untuk anak-anak anda. Bersama ini diberikan 10 kemahiran yang perlu dikuasai untuk mendidik anak-anak. Semoga ianya memberi manfaat untuk kita bersama. Selamat mencuba.

  1. Menjadi pendengar yang baik

Sebagai ibubapa kita haruslah memahami  dan sangat penting untuk menjadi pendengar yang setia kepada masalah yang dikemukan oleh anak-anak. Berikan mereka peluang untuk bercerita segala ketakutan, kerisauan dan keraguan yang mereka alami. Paling utama, ibubapa perlu fokus dan memberi penyelesaian terbaik untuk anak-anak.

  1. Menunjukkan rasa kasih sayang sepenuhnya

Ibubapa haruslah menunjukkan rasa cinta dan kasih sayang sepenuhnya kepada anak-anak. Setiap hari berikan pelukan kasih sayang dan ucapkan  sayang kepada mereka. Berikan mereka rasa diri mereka disayangi dan lebih ceria setiap hari.

  1. Meluangkan masa berkualiti

Usahakan lebih banyak masa anda diluangkan untuk beraktiviti bersama anak-anak. Contohnya bermain permainan , bercerita dan menyiapkan kerja rumah bersama-sama. Ia akan mengukuhkan ikatan perhubungan emosi yang kuat dengan anak-anak.

  1. Bersikap tegas, adil dan mesra

Penetapan disiplin di rumah amatlah penting. Ini untuk memastikan anak-anak lebih selamat dan berjaya. Contohnya anak-anak ditetapkan masa untuk belajar, bermain dan bersosial.

  1. Memberi contoh tauladan yang terbaik

Anak-anak biasanya akan melihat ibubapa sebagai contoh tauladan yang utama. Apa-apa keputusan dan geraklaku yang dibuat biasanya mengikut cara ibubapa. Mereka lebih mengikut tingkahlaku yang kita buat berbanding apa yang kita ucapkan. Oleh itu, ibubapa harus berhati-hati dengan setiap tuturkata dan perlakuan di hadapan anak-anak. Jadilah contoh tauladan yang baik untuk anak-anak.

  1. Memberi penghargaan, bukannya kutukan

Menjadi ibubapa yang positif amatlah penting. Hargai setiap kerja yang anak lakukan dari sekeci-kecil kerja sehingga yang besar. Jika mereka gagal melakukan sesuatu, berikan kata-kata dorongan dan bukannya kutukan. Mereka perlukan sokongan kita dalam apa jua perkara.

  1. Terbuka kepada pembelajaran

Walaupun kita sudah bergelar ibubapa, tidak semestinya kita sudah tahu segalanya mengenai ilmu pengurusan keluarga. Mulai saat ini, usahakan untuk menambah ilmu-ilmu keibubapaan. Info-info boleh diperolehi dari internet, suratkhabar, buku dan sebagainya. Tinggal motivasi diri masing-masing sahaja.

  1. Fahami anak anda dengan meletakkan diri anda seperti mereka

Perhatikan kelakuan anak-anak. Fahami bagaimana mereka belajar dan melihat sesuatu. Sentiasa beri peluang mereka memberikan pendapat. Ini amat penting supaya mereka lebih rasa dihargai dalam keluarga.

  1. Bersabarlah

Jangan menjangkakan anak anda boleh berubah dengan cepat selepas dinasihati. Jangan menjangkakan anda ibubapa yang hebat dalam sekelip mata. Semua perkara perlukan masa untuk berlaku dengan baik. Oleh itu, jangan terlalu risau apabila sesuatu yang kita mahu belum lagi tercapai.

Nukilan: Norah Tuah

keibubapaan